Jom Chat !

Selamat Datang Ke Blog Info Handphone...

Rabu, 20 November 2013

Lumia 1020 tiada pencabar terdekat


SIAPA sangka telefon pintar yang dikhususkan untuk melayari internet dan aplikasi menarik mampu dihasilkan beserta dengan kamera canggih 41 megapiksel.

Itulah yang dibangunkan oleh Nokia, jenama telefon bimbit popular satu ketika dahulu dalam usaha memecah monopoli telefon pintar keluaran Samsung, iPhone, Sony mahupun HTC.

Bukan sahaja berfungsi sebagai kamera digital biasa, Lumia 1020 ini mampu menjadikan penggunanya seorang jurufoto profesional dengan pelbagai ciri aturan yang diberikan.

Pengguna dapat menggunakan secara manual bagi dedahan, kelajuan pengatup, tahap sensitiviti ISO, imbangan putih dan fokus seperti yang terdapat pada kamera digital lensa tunggal.

Menggunakan platform Windows sebagai sistem operasinya, sudah pasti ia memberikan satu pendedahan baharu yang selama ini menggunakan Android dan ios sebagai sistem operasi utama.

Bagi mereka yang tidak biasa menggunakan sistem operasi Windows , sudah pasti akan merasa sedikit janggal dengan paparan muka telefon itu yang menggunakan papan muka sebagai menu utama.

Pelbagai aplikasi boleh di 'pin' atau letakan di bahagian papan muka itu berbeza dengan telefon pintar lain dan secara tidak langsung memberikan pengalaman yang berbeza.

Bagi peminat Lumia, sudah pasti akan mengenali fungsi mosaic paparan yang dikuasakan menggunakan Windows Phone 8 terbaharu keluaran Windows.

Windows seperti sedia maklum merupakan pengeluar perisian komputer utama dunia namun masih lagi belum mengeluarkan telefon pintarnya sendiri.

Mempunyai skrin bersaiz 4.5 inci dengan paparan ClearBack AMOLED memberikan paparan yang jelas dan mengagumkan. Ia sudah cukup memuaskan hati pengguna, ditambah pula kualiti gambar yang menakjubkan.

Selain itu, ia turut menyediakan kelajuan LTE yang merupakan capaian telefon pintar paling pantas untuk masa ini bagi menyaingi telefon pintar lain di pasaran.

Namun bagi spesifikasi lain, ia dianggap biasa sahaja dan tidak banyak bezanya dengan telefon pintar lain, cuma fungsi kamera sahaja dilihat melangkaui telefon pintar lain.

Disebabkan itu, walaupun tidak sampai tiga bulan telefon ini dipasarkan, kini Nokia telah mengeluarkan gambar di laman Facebooknya untuk melancarkan model Lumia 1520 pula.

Walau apa pun, yang pasti spesifikasi kamera pada telefon itu tidak dapat menyaingi Lumia 1020 kerana ia hanya membekalkan kamera bersaiz 20 megapiksel sahaja.

Apa-apa pun, kita kena tunggu dan lihat apabila ia dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi, kita akan tahu ciri-ciri lain yang dianggap istimewa untuk telefon keluaran Nokia ini.

Nampaknya, Nokia sudah mula mengorak langkah untuk meluaskan penguasaannya dalam segmen telefon pintar, sekali gus mengembalikan kegemilangan jenama itu suatu ketika dahulu apabila menguasai pasaran telefon bimbit dunia.


Clic untuk melihat paparan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan